Zahasmi harap Liga Malaysia dapat diselamatkan

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pengendali Kelantan United, Zahasmi Ismail berharap saingan Liga Malaysia 2020 akan dapat diteruskan meskipun ada cadangan supaya ia dibatalkan susulan penularan wabak Covid-19.

Malaysian Football League (MFL) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah mengambil keputusan menangguhkan semua pertandingan domestik sejak 16 Mac lalu namun tiada kepastian bila ia akan kembali disambung berikutan Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan kerajaan telah dilanjutkan sehingga 28 April.

Malah, Presiden MFL dan FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin juga mengakui membatalkan saingan adalah satu daripada pilihan yang dipertimbangkan.

Bagi Zahasmi, beliau faham dengan situasi semasa yang membawa kepada pelbagai kemungkinan, tetapi meminta MFL agar memikirkan solusi terbaik untuk menyelamatkan saingan musim ini daripada berkubur.

“Keutamaan kita sekarang adalah kepada keselamatan, tetapi apabila krisis ini berakhir, saya berharap agar kita dapat kembali meneruskan aksi. Cadangan bermain tanpa penyokong mungkin pilihan lebih baik berbanding membatalkannya terus. Diharap MFL mahupun FAM dapat berbuat sesuatu untuk menyelamatkan Liga Malaysia 2020,” ujar Zahasmi.

Kelantan United ketika ini cemerlang dalam saingan Liga Premier 2020, menduduki tangga kedua dengan sembilan mata hasil tiga kemenangan dalam empat perlawanan yang telah diharungi; ketinggalan tiga mata di belakang pendahulu liga Terengganu FC II.

Dalam perkembangan sama, pengendali Selangor, B.Sathianathan turut sependapat dengan Zahasmi, menyatakan bahawa pembatalan Liga Malaysia akan membawa impak buruk kepada keseluruhan industri, termasuklah ramai akan hilang kerja.

“Kerajaan boleh sambung Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau mengharamkan perhimpunan awam selepas PKP. Tetapi, jika ia membawa kepada Liga Malaysia dibatalkan, ia akan memberi kesan kepada semua orang.

“Banyak pasukan akan berdepan masalah besar. Bukan sahaja pemain dan jurulatih, tetapi seluruh industri bola sepak.

“Saya fikir ada jalan penyelesaian terbaik untuk mengelakkan masalah ini. FAM dan MFL perlu menghormati kontrak dengan pihak penaja. Penaja akan tarik diri jika kewajipan tidak dipenuhi, malah ramai akan hilang kerja,” katanya kepada NST Sports.

MFL dijangka membuat kenyataan mengenainya pada minggu ini.

Foto : Kelantan United FC

 

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.