Zahasmi : Terajang Bucs dan Nyima, bukan ‘gedebe’ tapi sebab semangat kenegerian tinggi

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pada era 80-an dan 90-an, Kelantan ada ramai pemain yang sentiasa mencuri tumpuan kerana sikap ‘gedebe’ di atas padang. Bekas ‘orang besi’ di barisan pertahanan, Zahasmi Ismail tidak terlepas dari dicop sedemikian.

Ada dua insiden panas popular berlaku membabitkan Zahasmi yang pastinya belum luput dari ingatan penyokong bolasepak Kelantan khususnya.

Pada Jun 1994, Zahasmi bersama-sama penjaga gol ‘panas baran’ Halim Napi menyerang pemain import Selangor, Zsolt Bucs ketika pertemuan Liga Perdana antara kedua-dua pasukan di Stadium Merdeka.

Apa sebenarnya yang berlaku pada malam 18 Jun itu?

Perlawanan membabitkan Kelantan dan Selangor ketika itu memang sentiasa panas. Selangor mendahului 1-0 menerusi jaringan Zsolt Bucs pada minit ke-23 dan perlawanan separuh masa pertama tamat dengan tiga layangan kad kuning kepada K.Sanbagamaran, Gerry Gomez dan Tuan Kamree Tuan Yahya.

Minit ke-54, Kelantan bermain dengan 10 pemain setelah Zami Mohd Nor dilayangkan kad merah kerana mengasari Ismail Ibrahim.

Namun begitu, Kelantan bangkit mendahului 2-1 menerusi dua jaringan pantas Hashim Mustapha dan Gerry Gomez. Selangor menggandakan asakan mencari gol penyamaan dan berjaya mendapatkan tendangan penalti selepas Sanbagamaran dijatuhkan Zulkifli Abdullah.

Walaupun ia dibantah pemain Kelantan, pengadil Nazri Abdullah kekal dengan keputusannya dan Alistair Edward menyempurnakan penalti untuk menceriakan kira-kira 25,000 penyokong Red Giants. Selepas itu bermulalah insiden panas.

Bucs cuba mengambil bola yang berada dalam gawang Kelantan untuk segera memulakan semula permainan tetapi Halim Napi menendang bola itu dengan sengaja, mencetuskan situasi kelam kabut. Bucs kemudian dikatakan meludah muka Hashim Mustapha.

Pergaduhan tercetus, pemain kedua-dua pasukan saling menyerang, memaki hamun dan kemudiannya Zahasmi bersama Zamri Mohd Nor serta beberapa rakan sepasukan lain mengejar Bucs sebelum dia diterajang Halim Napi dan dipijak secara berjemaah. Perlawanan dihentikan beberapa minit dan memaksa campur tangan polis.

Bucs dan Zamri dilayangkan kad merah. Walaupun terlepas ketika itu, Halim Napi dan Zahasmi kemudiannya dijatuhkan hukuman pengantungan sehingga akhir musim oleh Jawatankuasa Disiplin berdasarkan bukti video. Zamri digantung lapan perlawanan dan didenda RM3,000 manakala Zami pula digantung tujuh perlawanan dan denda RM3,000 manakala Bucs pula digantung dua perlawanan.

Tiga tahun kemudian, Zahasmi sekali lagi mencuri tumpuan apabila menerajang pemain pertahanan Terengganu Zulharisam Awang dan Jean Nyima dengan tendangan ala kung-fu sekaligus dilayangkan kad merah, digantung beberapa bulan oleh Jawatankuasa Disiplin.

Zahasmi Ismail coach Kelantan United Zahasmi : Terajang Bucs dan Nyima, bukan 'gedebe' tapi sebab semangat kenegerian tinggi

Bagi Zahasmi, dia mengakui peristiwa hitam dalam karier itu adalah sebahagian daripada kenakalan ketika melalui usia muda.

“Ketika itu bukanlah nak tunjuk ‘gedebe’ tetapi semangat kenegerian dan setiakawan mengatasi segalanya. Kerana mahu pertahankan rakan sepasukan apabila ada pemain lawan memulakan provokasi sama ada secara lisan atau fizikal, menyebabkan saya bertindak di luar dugaan, luar batasan.

“Memang sebolehnya sentiasa mencuba untuk mengawal panas baran itu, tetapi takkan nak tengok sahaja apabila lawan serang atau ludah rakan kita. Kita berkawan bukan sekadar di atas padang, tetapi persabahatan itu tetap utuh di luar padang.

“Tetapi saya dapat melihat generasi bolasepak Kelantan masa kini sudah tidak lagi mempunyai atitud seperti kami dulu, atitud cepat naik angin, panas baran. Ia satu perkembangan sangat positif kerana pemain pada hari ini sudah boleh berfikir baik buruk dan kesan kepada karier.

“Bolasepak bukan untuk membuktikan siapa ‘biso’ atau ‘gedebe’ tapi lubuk untuk cari makan. Ia sudah menjadi industri pendapatan lumayan jadi pemain-pemain jangan jejaskan masa depan dengan perbuatan yang sia-sia,” kata Zahasmi yang kini merupakan ketua jurulatih Kelantan United.

Rujukan : chedinsphere.blogspot.com, Dunia Warriors, NSTP

Foto : Kelantan United, NSTP

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.