Zainal Abidin kekal, Gary Steven dan dua import taruhan terbaru Melaka Utd

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Zainal Abidin Hassan akan kekal membimbing Melaka United dalam baki saingan Liga Malaysia musim ini.

Ketua Pegawai Eksekutif baru Melaka United, Datuk Seri Justin Lim yang menggantikan Datuk Saiful Mat Sapri berkata keputusan itu dicapai selepas mesyuarat di antara pengurusan kelab itu dan Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) pada Selasa.

Kedudukan Zainal Abidin Hassan sebelum ini diibaratkan sebagai ‘telur di hujung tanduk’ susulan prestasi buruk Melaka United dalam Liga Super 2021, di mana pasukan itu mengharungi prestasi buruk dan kini terperosok di tangga kedua tercorot.

Melaka United hanya mengutip 11 mata dalam 13 perlawanan (setelah ditolak tiga mata disebabkan isu tunggakan gaji) hasil tiga kemenangan dan lima keputusan seri.

Bagaimanapun pihak pengurusan masih menaruh kepercayaan Zainal Abidin Hassan yang membimbing pasukan itu dari 2019 adalah individu tepat untuk menyelamatkan pasukan itu dari tersingkir ke Liga Premier musim depan.

Selepas perlawanan menentang Sabah FC tempoh hari, Zainal mendedahkan masalah utama berisan pemainnya adalah kerap mengulangi kesilapan ‘bodoh’ dalam setiap perlawanan dan berharap mereka akan menjadikannya pengajaran.

Sebagai rekod, sejak layak beraksi di Liga Super pada musim 2017, pencapaian terbaik Melaka United adalah menduduki tempat keenam pada 2019, ketika itu dipisahkan hanya satu mata dengan pasukan tangga keempat, Kedah.

Sementara itu, Nadi Arena melaporkan cabaran Melaka United dalam baki saingan musim ini akan diperkuatkan dengan kehadiran dua pemain import baru, iaitu Giovane Gomez yang dipinjam dari kelab Brazil serta seorang lagi pemain dari Amerika Selatan yang belum didedahkan namanya.

Kedua-dua mereka akan menggantikan penyerang import dari Montenegro, Stefan Nikolic serta Alex Goncalves yang difahamkan telahpun ditamatkan kontrak susulan gagal menepati ekspetasi diletakkan.

Tiga pemain import lain Melaka United adalah pemain berdarah kacukan Filipina-Jerman, Manny Ott, Sony Norde (Haiti) dan Jang Suk Won (Korea Selatan).

Turut dijangka akan menyertai revolusi Melaka United adalah bekas pemain kebangsaan Gary Steven Robbat, secara pinjaman dari Johor Darul Takzim.

Kredit foto : Harian Metro

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.