Zainal Paling Gembira Dengan Pencapaian Hebat Selamatkan Melaka United

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Zainal Abidin Hassan adalah individu paling gembira dengan kemenangan dilakar Melaka United ke atas Perak FC di Stadium Hang Jebat pada Jumaat.

Ketinggalan menerusi jaringan penalti Sergio Aguero pada minit ke-30, Melaka United bangkit melakar kemenangan 2-1 menerusi jaringan Manuel Ott pada minit ke-67 dan Sony Norde pada minit ke-79.

Kemenangan itu memastikan Melaka United akan terus kekal beraksi dalam Liga Super musim depan manakala Perak FC pula mengalami nasib sebaliknya tersingkir ke Liga Premier buat pertama kali dalam sejarah.

“Ia tiga mata yang amat-amat penting sekali untuk Melaka United. Saya tahu ini akan menjadi satu perlawanan sengit dan sukar kerana Perak nak menghidupkan peluang mereka untuk kekal dan mereka bermain dengan cukup baik.

“Saya faham, saya nampak pemain tertekan di separuh masa pertama, tidak bermain seperti perancangan dan juga selepas ketinggalan satu gol.

“Ketika rehat saya beri sokongan, dorongan dan sepatah dua kata serta (perubahan) taktikal untuk kita dapatkan gol. Alhamdulillah berhasil, pemain-pemain harus diberi pujian dengan semangat mereka, tetap melawan walaupun ketinggalan.

“Inilah yang ada dalam diri setiap pemain Melaka United walaupun saya tak nafikan sekali lagi kita berikan gol mudah kepada lawan, tetapi kali ini kita perolehi peluang dan sempurnakannya walaupun ada peluang terlepas. Kita ambil peluang main di tempat sendiri dan berjaya hilangkan tekanan.”

Musim 2022 akan menjadi musim keenam berturut-turut skuad Melaka United bermain di Liga Super sejak membuat comeback pada 2017.

Dengan kekalnya Melaka United dan tersingkirnya Perak FC, perjuangan untuk terus kekal di Liga Super kini menjadi persaingan antara tiga pasukan iaitu Sri Pahang FC, PJ City dan Uitm FC.

Sri Pahang dan PJ City masing-masing mengumpul 18 mata dengan baki dua perlawanan dalam tangan manakala Uitm FC yang menghuni tangga tercorot pula sembilan mata dengan baki tiga perlawanan untuk diharungi.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.