Zamsaham : ‘Adakah Sathianathan sesuai bekerja dengan saya’?

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Sejak beberapa hari kebelakangan, nama B.Sathianathan mula dikaitkan dengan pasukan Kelantan FC.

Jurulatih yang pernah membimbing Kelantan menjuarai Piala Malaysia 2010 itu disebut-sebut sebagai antara calon yang wajar dipertimbangkan oleh pemilik pasukan Norizam Tukiman (Zamsaham) tatkala pasukan itu sedang mencari seorang jurulatih berpengalaman untuk bergandingan dengan Yusri Che Lah.

Sathianathan sendiri pernah menyatakan kesediaan untuk kembali ke arena kejurulatihan sekiranya mendapat tawaran daripada sebuah pasukan yang mempunyai projek yang besar dan perancangan jangka panjang.

Bekas jurulatih kebangsaan itu diketahui mempunyai portfolio yang baik dalam Liga Malaysia, di mana pada 2010 menjadi jurulatih pertama membawa Kelantan menjuarai Piala Malaysia dengan menewaskan Negeri Sembilan sekaligus menoktahkan penantian 89 tahun.

Selepas meninggalkan Kelantan, Sathianathan cemerlang bersama ATM, Felda United dan musim pertamanya di Selangor, sebelum dipecat pada September lalu.

Tetapi pencapaian hebat Sathianathan itu bukan tiket untuk memenangi hati Zamsaham, sebaliknya pakar pelaburan itu lebih berminat mendapatkan individu yang boleh bekerja dengannya.

“Kalau saya nak buat sesuatu benda, saya tidak perlukan orang-orang yang hebat, tetapi saya perlukan orang yang boleh bekerja dengan saya, itu sudah cukup.

“Bekerja dengan orang-orang yang sesuai untuk membawa budaya yang saya hendak terapkan.

“Jadi, adakah Sathianathan sesuai dengan saya. Kalau tidak, dia pasti tidak (bertahan) lama,” katanya dilaporkan oleh Astro Arena.

Zamsaham sebelum ini menyelamatkan bolasepak Kelantan apabila membeli pasukan itu dengan nilai RM3 juta dan kemudiannya menghulurkan pula pinjaman RM3.8 juta kepada Persatuan Bolasepak Kelantan bertujuan membantu menyelesaikan segala hutang-piutang dan tunggakan gaji.

Baca : Yusri Che Lah bersyukur TRW dapat pemilik tahu pasal bola

Dalam tempoh kurang dua bulan mengambil alih pasukan, beliau telah menyelesaikan hampir kesemua isu tunggakan gaji yang berbangkit dan difahamkan tinggal hanya beberapa kes sahaja yang masih lagi sedang diuruskan.

Sambil menyatakan bahawa beliau gembira dengan jurulatih Yusri Che Lah serta apa yang telah dilihatnya dalam skuad Kelantan 2020 sejak kebelakangan ini, Zamsaham berpendapat pasukan itu boleh bertambah baik jika ada sentuhan pengendali berpengalaman, sama ada tempatan mahupun luar negara.

Mereka juga telah melantik bekas pemain kebangsaan, Nasir Yusoff sebagai Pengarah Teknikal pasukan baru-baru ini.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.