Zamsaham bimbang berlaku ‘conflict of interest’ jika ganti Hamidin sebagai boss MFL

Zamsaham
Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman awal-awal lagi menolak cadangan supaya beliau menggantikan Datuk Hamidin Mohd Amin sebagai Presiden Malaysian Football League (MFL) kerana khuatir berlakunya pilih kasih atau ‘conflict of interest’.

Datuk Hamidin ketika Kongres FAM ke-57 pada Sabtu lalu membuat kejutan apabila mengumumkan akan melepaskan jawatannya sebagai boss MFL selewat-lewatnya selepas Aidilfitri bagi memberi tumpuan penuh kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Beliau yang memegang jawatan itu sejak 2019 bagaimanapun tidak mahu kekosongan itu diisi oleh orang dalam FAM justeru pemerhati mencadangkan beberapa nama untuk dipertimbangkan sebagai pengganti termasuklah Zamsaham.

Bagi Zamsaham yang juga pakar pelaburan serta ahli perniagaan berjaya, beliau langsung tidak berminat untuk menapak masuk ke dalam MFL.

“Terima kasih kepada yang mencadangkan, tapi memang saya tidak berminat langsung (jawatan Presiden MFL). Saya tidak mahu menimbulkan isu berbangkit hingga akan mencetuskan rasa tidak puas hati pihak tertentu kemungkinan ada tindakan pilih bulu. Ya mungkin boleh berlaku.

“Ketika ini, lebih baik saya menumpukan beberapa perkara terutama untuk mengambil alih kelab bola sepak Indonesia yang kini berada di fasa akhir,” kata Zamsaham di facebook peribadi.

Zamsaham difahamkan telah mengadakan perbincangan bersama beberapa pemilik kelab bola sepak Indonesia dan telah bersetuju untuk membeli salah satu kelab dengan harga mencecah jutaan ringgit, di mana setakat ini semuanya berjalan lancar.

Sebagai rekod, Zamsaham mengambil alih Kelantan FC pada September tahun lalu dengan nilai RM6.8 juta dan selepas itu berbelanja jutaan ringgit lagi untuk menyelesaikan pelbagai hutang lapuk termasuk tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan, dari skuad utama hingga ke skuad Piala Presiden dan Piala Belia.

Malah sejak berada di bawah pengurusan baru, semuanya kelihatan lebih teratur di kem Kelantan FC meskipun Zamsaham membuat keputusan merombak sepenuhnya pasukan dengan melepaskan hampir kesemua pemain tonggak bagi menjimatkan kos.

Hanya tiga sahaja pemain yang sudah lama bermain di Liga Malaysia berada di dalam pasukan iaitu penjaga gol veteran Farizal Harun, Faredzuan Kamarudin dan penyerang Nurshamil Abd Ghani manakala selebihnya diperkuatkan pemain-pemain muda.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.