Zamsaham dedah tiada satu sen pun bayaran yang diterima Kelantan FC

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Bukan berniat mahu mengeruhkan keadaan, tetapi tidak mahu Kelantan FC berterusan menjadi mangsa buli.

Itu pendirian pemilik pasukan itu, Norizam Tukiman, apabila tampil memberi penjelasan terhadap beberapa perkara yang dibangkitkannya baru-baru ini sehingga ia mengundang rasa ‘murka’ Malaysian Football League (MFL).

Semuanya berpunca daripada perselisihan faham yang tercetus gara-gara kenyataan Stuart Ramalingam (Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia) berhubung pemotongan mata ke atas pasukan itu jika tidak menyelesaikan tunggakan gaji.

Norizam atau dikenali Zamsaham kemudiannya melontarkan beberapa pertanyaan khususnya mengenai pembayaran hak penyiaran serta bayaran elaun pengadil yang masih belum diterima mereka daripada MFL.

Sebagai jawapan balas CEO MFL, Datuk Abdul Ghani Hassan memberitahu pertanyaan Zamsaham itu tidak berasas kerana MFL sudahpun menjelaskan semua bayaran hak penyiaran bagi tahun lalu.

“Apa yang saya tak faham kenapa beliau mengeluarkan kenyataan seperti itu setelah saya menjelaskan segala persoalan yang diajukan dalam sesi taklimat tersebut. Beliau perlu ingat sebagai pemegang taruh dalam Liga M ada perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan, ini bertentangan dengan peraturan yang telah termaktub.

“Dia perlu belajar mengenai perkara ini dalam hal undang-undang. Sesiapa yang mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan dasar kita. Ada perkara dibincangkan tidak boleh didedah kepada media. Mungkin dia baru dan tidak faham. MFL akan mengeluarkan surat kepada beliau untuk meminta penjelasan,” kata Ghani dilaporkan oleh Utusan Malaysia.

Begitupun, Zamsaham tidak mahu mengalah dan sekadar mengangguk dengan jawapan yang diberikan Abdul Ghani itu, sebaliknya mempertahankan apa yang dikatakannya.

“Start saya ambik Kelantan FC dari bulan 9 tahun lepas, hingga hari ini tiada satu sen bayaran yang sepatutya Kelantan FC terima hasil kutipan Online MyCujoo, MFL Email pertanyaan sudah dihantar, tetapi belum dapat.

“Alasan dari MFL adalah Covid19, dan tiada tajaan. TETAPI duit siaran perlawanan dari MYcujoo dibayar tunai oleh semua penonton. So, kenapa bahagian TRW tidak dibayar? Email dah dihantar. Terkejut beruk aku duit pengadil pun pasukan kena bayar, lepas tu bila claim MFL dah masuk 5 bulan tak dapat. Demand Letter dah dihantar,” ujar Zamsaham.

Tambahnya lagi, “MFL hutang Kelantan FC RMxxk belum selesai, tapi MFL minta RM25,000 sebagai yuran penyertaan ke Liga Perdana. Walaupun susah, kami usaha dan kami dah pun bayar RM25,000 tu. Aku bukan gila glamour, aku hanya nak bagi tahu tolong jangan buli Kelantan FC. Hak tetap hak.”

Terdahulu, Norizam turut berkongsi surat tunjuk sebab yang diberikan oleh MFL kepada beliau dan turut menjawab beberapa persoalan yang diajukan dalam surat terbabit oleh badan pengendali liga berkenaan.

Dalam perkembangan sama, Norizam turut memohon MFL supaya bertindak dengan lebih telus dan profesional selain menengaskan pihaknya tidak mempunyai sebarang niat untuk memburukkan atau menimbulkan tanggapan negatif terhadap MFL mahupun Liga M.

“MFL perlu lebih telus dan profesional dengan cara mengadakan mesyuarat, perbincangan, perjumpaan atau pertemuan antara pihak-pihak antara lainnya pemilik kelab.

“Selain itu, mengemukakan dan membentangkan akaun, transaksi dan semua urusan kewangan berkaitan MFL, bagi meningkatkan kredibiliti, ketelusan dan pematuhan oleh semua pihak dengan lebih efektif di tahap yang tertinggi.

“Setakat hari ini, Kelantan FC masih belum menerima sebarang laporan audit akaun MFL terdahulu atau memberikan tarikh mesyuarat agung tahunan serta lain-lain cara, inisiatif atau usaha yang dirasakan perlu dan penting bagi membolehkan mutu dan kualiti Liga M dipertingkatkan dari segenap aspek termasuklah pengurusan.

“Apa yang dibuat adalah dengan satu misi iaitu untuk meningkatkan kredbiliti, ketelusan dan urustadbir korporat yang baik untuk meningkatkan taraf dan nilai keseluruhan Liga M,” katanya.

 

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.