‘Durian runtuh’ menanti ketua jurulatih, barisan pegawai dan pemain pasukan Kelantan FC sekiranya berjaya menjuarai saingan Liga Premier musim ini.
Pemilik pasukan pantai timur itu, Norizam Tukiman (Zamsaham) dalam satu posting di facebook peribadi beliau menyatakan, “Mungkin terlalu awal, tetapi nak kasi semangat, inshaAllah kalau jadi juara Liga Perdana tahun ini, saya nak bagi tanah lot banglo untuk ketua jurulatih Rezal Zambery dan beberapa yang lain, (manakala) pemain+bonus. Mudahan terkabul.”

Setelah lima perlawanan, Kelantan FC sedang menerajui carta Liga Premier dengan 12 mata hasil empat kemenangan dan satu kekalahan, justeru Zamsaham mahu pemain kekal fokus mengharungi baki perlawanan sambil menjelaskan bahawa perkara yang penting akan diutamakan terlebih dahulu.
“InshaAllah pemain tentu ada bonus, yang penting usaha dulu bossku. Kita sumbangkan dahulu.
“Yang utama dan urgent, kita pastikan gaji dibayar setiap bulan. Bukan senang nak senang bang oii, banyak tanggungjawab nak jaga. Usaha dahulu, bonus itu selepas usaha keras,” tambahnya.
Sebagai rekod, ini adalah musim keempat berturut-turut pasukan The Red Warriors beraksi dalam Liga Premier, dan tahun ini mungkin peluang terbaik mereka untuk muncul juara mengambil kira semuanya tampak ‘cantik’ di kem pasukan terutamanya bab pengurusan, pembayaran gaji dan kebajikan pemain.
Sejak mengambil alih pasukan TRW pada September 2020 dengan nilai RM6.8 juta, Zamsaham telah menyelesaikan sepenuhnya segala masalah hutang dan tunggakan gaji yang membelenggu mereka sejak bertahun-tahun lamanya.
Beliau menyelamatkan sebuah ‘kapal’ yang hampir karam dan membina semula pasukan dari ‘kosong’ dengan berbelanja mengikut kemampuan dan pada musim penuh pertamanya pada 2021, Kelantan FC menamatkan saingan Liga Premier di tangga keenam.
Pada tahun ini bajet yang lebih diletakkan dengan sasaran untuk menjuarai Liga Premier dan mara ke Liga Super 2023.
Foto ehsan : TRW Kelantan FC