Zamsaham : ‘MFL tolong bantu kelab buat duit, bukan bantu MyCujoo’

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman (Zamsaham) meminta supaya Malaysian Football League (MFL) memberi kebenaran kepada kelab terutamanya dari saingan Liga Premier untuk menguruskan sendiri siaran langsung, dan bukannya melalui pihak ketiga iaitu MyCujoo.

Saranan itu disuarakan Zamsaham susulan kejayaan mengutip RM28,000 bagi siaran langsung aksi persahabatan Kelantan FC menentang Terengganu FC II di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada Jumaat, yang mana diuruskan oleh pihaknya sendiri.

Kelantan FC mengenakan bayaran sebanyak RM25 kepada penyokong untuk mereka membeli pas ekslusif perlawanan yang akan membolehkan mereka mendapat akses menonton siaran langsung di group private TRWTV.

Ia berkonsepkan pay per view.

“Alhamdulillah, kutipan bagi perlawanan pertama persahabatan melepasi RM28,000 lebih tinggi dari yang diuruskan oleh MyCujoo iaitu hanya RM1700 pendapatan dari 6 perlawanan musim lepas.

“RM14,000 dapat disedekah, terima kasih kepada semua penyokong Kelantan FC TRW. Hari Jumaat yang berkah, kita akan sedekahkan beras dan keperluan lain kepada yang memerlukan.

“Mohon MFL benarkan kelab terutama dari Liga Perdana uruskan sendiri live perlawanan. Tolong bantu kelab bukan bantu MyCujoo,” ujar pakar pelaburan itu.

Sebagai rekod, siaran langsung perlawanan Liga Premier bagi musim 2020 telah dikendalikan oleh MyCujoo yang mendapat hak penyiaran daripada MFL, tetapi bukan sahaja kualiti mereka dan kelihatan amatur dan menerima kritikan hebat, dalam masa sama pasukan tidak mendapat pulangan yang besar.

Sepertimana didedahkan oleh Zamsaham sendiri, Kelantan FC hanya mendapat purata tidak sampai RM300 bagi satu perlawanan di sebalik sokongan hebat ditunjukkan penyokong pasukan itu membayar untuk setiap siaran langsung.

Dalam pada itu, Zamsaham bersetuju untuk memberikan tontonan percuma untuk perlawanan persahabatan seterusnya menentang Melaka United pada Ahad ini kepada penyokong yang menghadapi masalah bagi menyaksikan siaran perlawanan perlawanan menentang Terengganu FC II.

Sejak mengambil alih Kelantan FC, Zamsaham telah menyelesaikan pelbagai hutang lapuk dan tunggakan gaji pasukan itu dan bagi musim 2021 membina semula pasukan dari bawah, di mana pasukan itu mempertaruhkan kudrat pemain muda serta pemain yang tiada nama.

Sasaran yang diletakkan adalah kembali bermain di Liga Super pada 2024.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.