Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman jelas kurang senang dengan perkhabaran bahawa pasukan itu akan dikenakan pemotongan tiga mata, sekiranya Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) gagal menyelesaikan tuntutan tunggakan gaji 11 bekas pemain sepertimana diumumkan Jawatankuasa Status FAM pada Rabu.
Norizam atau dikenali Zamsaham berpendapat ia bukan sahaja tidak adil untuk Kelantan FC dikenakan hukuman pemotongan tiga mata bagi tuntutan yang sepatutnya dilangsaikan KAFA.
Dalam masa sama beliau menegur FAM atas sikap terburu-buru mereka mewar-warkan kepada media mengenai hukuman itu tanpa berbincang terlebih dahulu dengan Kelantan FC mahupun KAFA.
“Penswastaan yang kurang bijak, hutang KAFA tapi denda kena kepada Kelantan FC, apa guna swasta?
“KAFA sudah menjelaskan bahawa baki hutang (tunggakan gaji) mereka akan bayar, Kelantan FC dah nak fokus ke depan.
“FAM pula sepatutnya membantu penswastaan bukannya awal-awal dah cerita nak tolak tiga mata kepada media tanpa sebarang pertanyaan kepada kelab mahupun KAFA terlebih dahulu.
“Mohon FAM lebih bijak dari biasa. Hutang-hutang MFL siaran perlawanan belum bayar! Hutang MFL duit pengadil pun belum bayar. Apa perjuangan FAM, ubahsuai pejabat?” ujar Zamsaham di facebook peribadinya.
Jawatankuasa Status FAM pada Rabu memutuskan menerima tuntutan 11 bekas pemain Kelantan iaitu Fauzi Rozlan, Zulfahmi Awang, Afiq Azuan, Wan Mohammed Afiq Wan Mohamed Kasbi, Azzrie Aripin, Syafiq Syahmi Husin, Fahmi Izzuddin Ab Rahman, Ahmad Fathi Irfan Azlan, Fazliera Ezlan Mohd Rosli, Ahmad Hamzalah Zulkiflee dan Fikri Hakim Kama berjumlah keseluruhan RM187,778.92.
Menerusi laporan Bernama, Setiausaha Agung FAM Stuart Ramalingam berkata Kelantan FC akan dikenakan pemotongan tiga mata meskipun hukuman yang diputuskan adalah membabitkan KAFA.
“Walaupun proses pemisahan status daripada persatuan bola sepak kepada kelab bola sepak sudah selesai, tindakan masih boleh diambil ke atas mana-mana pasukan kerana isu ini melibatkan kebajikan pemain,” jelas Stuart.
Sejak memiliki pasukan Kelantan pada September tahun lalu, Zamsaham diketahui telah berhabis jutaan ringgit di dalam menyelesaikan tunggakan gaji bekas pemain, termasuklah kes-kes yang dibawa ke pengetahuan FIFA.