Zamsaham : Tidak Wajar Kelantan Dihukum Atas Kesilapan Pegawai Perlawanan

Zamsaham
Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman atau Zamsaham, menegaskan adalah tidak wajar pasukannya dipersalahkan dan dikenakan hukuman atas kesalahan melanggar peraturan perlawanan sedangkan ia adalah berpunca daripada kesilapan pegawai perlawanan.

Kelantan FC dilaporkan melanggar peraturan perlawanan ketika menentang Negeri Sembilan pada 27 Ogos lalu yang mana mereka menang 2-1 apabila melakukan pertukaran lima pemain sebanyak empat kali, sedangkan had maksima yang dibenarkan adalah hanya tiga kali.

Negeri Sembilan mengemukakan bantahan kepada Malaysian Football League (MFL) pada 30 Ogos lalu apatah lagi mereka sememangnya terdesak memerlukan tiga mata untuk mengejar kedudukan Sarawak United bagi merebut kejuaraan Liga Premier 2021.

Sebagai susulan daripada bantahan dikemukakan MFL difahamkan telah memberikan amaran keras agar perbuatan sama tidak diulangi selain mengenakan denda RM30,000 kepada Kelantan FC, sepertimana didedahkan portal Cakap Sukan.

Baca : Negeri Sembilan Buat Bantahan, Tapi MFL Yang Dapat RM30,000?

Zamsaham dalam satu kenyataan berkata, barisan kejurulatihan membuat pertukaran kelima pada perlawanan itu selepas mendapat kebenaran daripada pegawai perlawanan iaitu pengadil keempat (Mohammad Faizal Talib).

“Sebarang pertukaran adalah tertakluk kepada pengesahan dan kebenaran yang diberikan oleh pegawai perlawanan tersebut. Sebagai makluman, sebelum melakukan pertukaran kelima pada minit 90+2 permainan, penolong jurulatih TRW Kelantan FC telah merujuk terlebih dahulu kepada pegawai keempat yang bertugas dan selanjutnya telah memberikan kelulusan dan pengesahan dalam membenarkan pertukaran tersebut boleh dilakukan.

“TRW Kelantan FC menegaskan di sini bahawa rujukan awal telah dibuat sebelum pertukaran pemain dibuat, yang mana adalah menurut kepada kelulusan diberikan pegawai perlawanan tersebut. Oleh yang demikian adalah tidak wajar kesalahan ini ditujukan kepada pasukan TRW Kelantan FC atas kesilapan pegawai perlawanan yang bertugas.

“Kami berharap MFL mengambil pertimbangan dan keputusan secara telus berkait insiden ini,” kata Zamsaham.

Pada perlawanan tersebut Kelantan mendahului pada minit ke-12 menerusi jaringan Syed Sobri sebelum Negeri Sembilan mengikat kedudukan pada minit ke-16 menerusi Francis Kone.

Nursyamil Abdul Ghani muncul wira apabila menjaringkan gol pada minit ke-89 sekaligus menghadiahkan kemenangan ketujuh buat Kelantan FC musim ini.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.