Zaquan Adha, bisanya belum hilang meskipun sudah berpangkat veteran

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Usianya 34 tahun tetapi bisa Zaquan Adha Abdul Radzak masih belum hilang.

Bekas kapten pasukan kebangsaan itu sudahpun mengumpul empat jaringan dalam Liga Premier 2021, termasuk menerusi dua jaringan yang membantu menewaskan Kelantan FC 2-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, pada Ahad.

Ini hanyalah perlawanan keempatnya musim ini, dia sebelum ini direhatkan dalam empat perlawanan berikutan mengalami kecederaan hamstring ketika menentang Johor Darul Ta’zim II (JDT II) dalam perlawanan sulung dan kembali diturunkan ketika menentang Kuching City (perlawanan keenam).

Lebih menarik, dua gol yang dijaringkannya bukan biasa-biasa, sebaliknya gol cantik menerusi rembatan half-volley pada minit keempat dan kemudiannya sepakan lencong yang mengenai palang sebelum bola bergolek masuk ke dalam gawang pada minit ke-70.

“Saya akui cukup puas kerana dapat menghasilkan dua jaringan sebegitu pada semalam namun lebih penting tiga mata buat Negeri Sembilan dalam menyalakan semula impian ke Liga Super musim depan selain bersaing dengan Sarawak United bagi mahkota kejuaraan Liga Premier, ” kata Zaquan Adha selepas perlawanan.

Tiga mata yang diraih membantu Negeri Sembilan merampas semula kedudukan pendahulu Liga Premier daripada Sarawak United selepas pencabar mereka itu tewas mengejut 0-2 kepada PDRM FC di Stadium Hang Jebat, pada Jumaat.

Dalam dua aksi terdahulu, Negeri Sembilan bimbingan K.Devan gagal melakar kemenangan, masing-masing tewas 2-3 kepada Kelantan United dan seri tanpa jaringan dengan Kuching City FC.

“Ini kemenangan yang penting buat kami kerana dua perlawanan di laman sendiri sebelum ini, kami tidak meraih kemenangan jadi telah rugi sebenarnya buat pasukan.

“Jadi, tiga mata yang diraih ke atas Kelantan kembali meletakkan Negeri Sembilan dalam landasan untuk bersaing dengan Sarawak United terutamanya, malah sebenarnya, rata-rata pemain cukup bermotivasi untuk menang apabila ketahui Sarawak United tewas pada perlawanan, Jumaat tempoh hari.

“Satu lagi harus diingat Kelantan juga berada rapat mengekori kami dan berada dalam senarai pencabar selain Sarawak serta Kelantan United yang boleh bersaing bagi merebut dua slot teratas ke Liga Super, ” kata Zaquan Adha yang mengharapkan rentak kemenangan dapat diteruskan semasa perlawanan dengan Sarawak United pada Sabtu ini. 

Tambahnya, dia dan rakan sepasukan tidak akan memandang rendah terhadap kemampuan lawan mereka itu walaupun kalah mengejut kepada PDRM FC kerana menyifatkan skuad kendalian E.Elavarasan itu mempunyai ramai pemain berkualiti tinggi.

“Pertemuan dengan Sarawak United, saya rasakan akan menjadi penentu utama kepada sejauh mana kami mampu pergi pada musim ini dan saya mengharapkan rakan-rakan tidak pandang rendah kepada mereka.

“Banyak perlawanan penting yang akan dilalui oleh Negeri Sembilan sepanjang Ramadan ini kerana kami akan bertemu PDRM dan JDT II selepas Sarawak United, jadi setiap kemenangan amat penting bagi meletakkan kedudukan yang lebih selesa kepada kami, ” katanya.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.