Zaquan Adha : Pelan-pelan kayuh, buat apa nak kalut …

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Penyerang Kedah, Zaquan Adha Abdul Razak berpendapat tiada keperluan  untuk pasukan itu terburu-buru kembali menjalani latihan walaupun sudah mendapat lampu hijau kerajaan.

Kedah dijadual memulakan latihan pada 23 Jun depan dan Zaquan menyifatkan ia memberi ruang masa yang cukup kepada pasukan itu untuk melaksanakan empat perkara wajib ditetapkan oleh Malaysian Football League (MFL) terlebih dahulu.

Jelasnya, apa yang paling utama adalah pasukan mematuhi arahan MFL dengan salah satunya adalah setiap pemain dan pegawai perlu menjalani ujian calitan atau swab test dan keputusan hendaklah diserahkan kepada MFL.

Selain itu, setiap pasukan perlu melantik seorang pegawai penyelaras untuk memantau pematuhan SOP di peringkat pasukan, menamakan pusat latihan yang tertutup dan venue latihan perlu didaftarkan melalui pautan notification.miti.gov.my (MITI).

“Bagi saya, tidak perlulah terburu-buru untuk kita memulakan latihan sekiranya empat perkara itu belum lagi selesai dan sekarang kita pun tahu Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berlanjutan sehingga 31 Ogos ini.

“Jadi, kita ada masa sehingga sebulan lebih untuk berlatih mengikut SOP yang betul dan macam Kedah, kami akan mulakan latihan pada 23 Jun, jadi pemain-pemain yang dari negeri lain juga ada masa untuk kembali ke Kedah bagi bersedia dan melakukan ujian calitan.

“Bukan itu sahaja, sebagai pemain, kami juga ada lebih masa bersedia untuk menyesuaikan diri dengan peraturan baharu dalam padang manakala daripada segi teknikal pula, mereka juga dapat bersedia dengan lebih baik bagi mempersiapkan apa yang patut sebelum 23 Jun ini,” katanya.

Terdapat beberapa pemain dan pegawai Kedah sudah melakukan “swab test” pada hari ini manakala selebihnya pada keesokan hari termasuklah Zaquan sendiri.

Tambah bekas kapten Harimau Malaya itu, “Saya kena lebih berhati-hati apabila latihan sudah bermula apatah lagi saya tinggal bersama isteri dan anak-anak di mana kesihatan mereka juga perlu dititikberatkan.

“Sepertimana SOP yang telah dikeluarkan MFL untuk pemain bersiap terus daripada rumah untuk ke tempat latihan dan, terus pulang ke rumah apabila sudah selesai berlatih adalah tepat kerana kami tidak perlu berada di luar terlalu lama.

“Jadi, apabila dah balik ke rumah, saya akan cepat-cepat mandi dan membersihkan diri kerana tidak mahu keluarga saya berada dalam risiko berbahaya apabila kami sudah berpeluh di tempat latihan”, jelasnya.

Setakat ini, masih tiada pasukan yang dibenarkan memulakan latihan pada hari ini apabila mereka belum lagi menyelesaikan empat perkara wajib tersebut termasuklah menyerahkan keputusan “swab test” kepada MFL.

Foto : NSTP

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.