Zarif Irfan bakal penjaga gol nombor satu Pahang?

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Sri Pahang FC nampaknya terus rancak memperkuatkan pasukan apabila mendapatkan khidmat penjaga gol Zarif Irfan Hashimudin bagi mengharungi saingan Liga Malaysia 2021.

Belum ada pengumuman rasmi dibuat Pahang mengenai kemasukan Zarif Irfan, tetapi sumber LabolaMalaya memberitahu bekas penjaga gol utama PKNS FC dan Felda United itu telahpun menandatangani kontrak bersama kelab itu beberapa minggu lalu.

Dengan reputasi selaku penjaga gol muda yang semakin meningkat naik malah pernah dipanggil ke kem latihan Harimau Malaya pada tahun lalu oleh Tan Cheng Hoe, Zarif Irfan dijangka menjadi pilihan utama untuk mengemudi gawang Pahang apatah lagi mereka kini hanya ada penjaga gol veteran Helmi Eliza Elias sebagai sandaran, dan telahpun melepaskan bekas penjaga gol kebangsaan Sharbinee Allawee Ramli.

Sebagai rekod, Zarif Irfan memulakan kerjayanya bersama pasukan Air Asia FC yang beraksi dalam Liga FAM pada 2015 dan pada penghujung tahun tersebut menandatangani kontrak bersama pasukan Selangor.

Dua musim di Selangor, dia sekadar menjadi penjaga gol simpanan, di belakang Khairul Azhan Khalid dan Norazlan Razali.

Perpindahan ke PKNS FC pada musim 2018 melonjakkan karier penjaga gol kelahiran Kedah ini, sehingga dia berjaya memikat perhatian Cheng Hoe dan dilabel masa depan bolasepak tanah air.

Dia menyertai Felda United bagi saingan musim 2020 tetapi sekali lagi terpaksa berhijrah berikutan pasukan itu tidak diluluskan penyertaan bagi beraksi dalam saingan Liga Malaysia 2021 berikutan tidak lulus pelesenan kelab, lantas Pahang membuat keputusan menyambar khidmatnya.

Selain Zarif Irfan, Pahang yang membuat rombakan besar pada pasukan juga telah mendapatkan khidmat Abdul Malik Mat Arid, Shahrul Aizad Zulkifli, Ahmad Jadid Ilias, Baqiuddin Shamsudin serta dua pemain import iaitu Lee Tuck dan Sergio Aguero.

Mereka telah melepaskan beberapa tonggak utama antaranya Gopi Rizqi yang menyertai Sarawak United, Faisal Halim yang menyertai Terengganu FC, R.Dinesh dan Nik Shariff Haseefy yang menyertai Selangor, serta empat pemain import Dickson Nwakaeme, Adam Reed, Ivan Carlos dan Khalil Khamis.

Foto ehsan : NSTP

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.