Zarif Irfan mahu jadikan Sri Pahang ‘batu loncatan’ pikat Cheng Hoe

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Zarif Irfan Hashimuddin yakin telah membuat keputusan tepat menyertai Sri Pahang FC demi melonjakkan kariernya ke tahap lebih tinggi.

Biarpun ada menerima beberapa tawaran daripada pasukan lain, Zarif Irfan mengakui peluang bermain dengan Sri Pahang adalah sesuatu yang dinantikan dek reputasi gah pasukan itu dalam Liga Malaysia, lantas dia tidak berfikir panjang apabila peluang itu datang.

Malah, dia berharap mampu tampilkan prestasi yang cemerlang dengan Pahang serta sebagai batu loncatan buat dirinya berada dalam skuad kebangsaan pada masa akan datang.

“Selepas pasukan Felda memilih untuk tidak lagi beraksi, saya ada berbincang dengan dua dan tiga pasukan lain sebelum tawaran dari Pahang datang menerusi pengurusnya, Datuk Suffian (Mohammed Awang).

“Beliau dan pengurusan telah berikan keyakinan yang mereka punyai perancangan jangka panjang dengan saya kerana umur saya masih muda dan optimis terhadap kemampuan saya.

“Bagi saya, ini peluang yang tidak boleh dilepaskan kerana Pahang adalah satu nama yang begitu besar dalam liga kita dan saya rasa inilah peluang terbaik buat diri saya kembali naikkan karier.

“Saya mahu dipanggil semula ke dalam skuad kebangsaan, sebelum ini saya pernah merasai peluang sedemikian pada 2019 apabila Tan Cheng Hoe pernah memanggil saya gantikan Hafizul Hakim yang cedera pada saingan pusingan kelayakan Piala Dunia 2022.

“Itu azam saya dengan Pahang dan akui ini antara detik terbaik dalam karier dan saya sudah cukup bersedia untuk beraksi kerana rasa semakin matang untuk lebih kerap bermain selepas lalui pelbagai pengalaman dalam beberapa musim ini,” kata Zarif Irfan.

Zarif Irfan memulakan karier bolasepak sebagai pemain amatur bersama Air-Asia Allstars pada 2015 namun perpindahan sensasi ke Selangor selama dua musim dari 2016 ke 2017, menukar haluan kerjayanya selaku pemain profesional.

Dia berhijrah ke PKNS selepas itu selama dua musim dan bermain untuk Felda United pada musim 2020 namun banyak bersaing dengan Muhaimin Mohamad bagi merebut tempat selaku penjaga gol utama.

Di Sri Pahang, Zarif Irfan bakal dicabar penjaga gol berpengalaman, Helmi Eliza Elias.

“Saya amat hormati Helmi selaku penjaga gol yang cukup kaya dengan pengalaman dan banyak perkara boleh dipelajari dengan dirinya selepas menyertai sesi latihan di Pahang.

“Namun, saya datang ke Pahang bukan untuk menjadi penumpang, sebaliknya mahu membuktikan potensi yang saya ada serta menjadi penjaga gol utama Pahang.

“ Jadi, saya akan berikan komitmen serta komited di padang latihan serta jika diberi peluang untuk bermain, saya akan pastikan berada di tahap terbaik bagi membantu pasukan, ” kata penjaga gol berusia 26 tahun itu.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.