Ziege : ‘Saya tidak menyesal, tetapi perpindahan ke Liverpool boleh dielakkan’

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Ketika zamannya, Christian Ziege dilabel sebagai salah seorang pemain pertahanan sayap terbaik dunia yang meniti kemuncak karier pada pertengahan 90-an bersama kedua-dua pasukan kelab serta pasukan kebangsaan Jerman.

Kelebihan Ziege yang cukup dikagumi ramai adalah dia pemain pertahanan yang cenderung menjaringkan gol terutama menerusi percubaan jarak jauh, atau sepakan percuma sehingga digelar sebagai pakar bola mati.

Ziege merupakan satu daripada tiga pemain yang bermain kesemua perlawanan dalam laluan Jerman muncul juara Euro 96 dan kemudiannya bermain dalam tiga lagi kejohanan besar selepas itu iaitu Piala Dunia 1998, Euro 2000 dan Piala Dunia 2002.

Selepas menjulang Bundesliga buat kali kedua bersama Bayern Munich pada 1996/97, dia berhijrah ke AC Milan dan membantu pasukan itu memenangi Serie A pada 1998/99.

“Karier saya memuncak pada waktu yang tepat, pada usia 24 tahun saya menjulang Euro 96 sebagai pemain utama skuad kebangsaan dan meneruskannya bersama Bayern Munich. Selepas itu ramai pemain dari Bundesliga serta rakan sepasukan di Jerman mula keluar untuk bermain di Itali.

“Serie A adalah liga terbaik dunia ketika itu, semua mahu bermain di sana. Nama-nama seperti (Jurgen) Klinsmann, (Andreas) Brehme, (Lothar) Matthaus, (Jurgen) Kohler, Stefan Reuter, Thomas Hassler, (Thomas) Berthold pergi bermain di Itali, dan saya mahu melakukan benda sama.

“Saya suka mentaliti Itali, makanan mereka, gaya hidup di sana. Semuanya bagus ketika itu dan ia adalah impian saya sejak usia 14 atau 15 tahun. Saya bercakap kepada diri saya ada impian besar dan mahu merealisasikannya satu per satu.

“Saya bermain dengan Bayern Munich selama tujuh tahun, tiada masalah pun dengannya, cuma saya mahu bermain di Itali, peluang itu tiba dan saya berpindah,” ujar Ziege.

“Segalanya berbeza di Itali dan menjadi seorang pemain profesional di sana, setidak-tidaknya pada waktu itu, bukan satu benda mudah tetapi saya menikmati setiap detik di sana. Ia musim pertama yang tidak berapa menjadi di mana saya terpaksa menangani masalah kecederaan dan lain-lain, tetapi pada musim kedua kami menjulang Serie A dan ianya satu kejayaan.

“Bayangkan tujuh perlawanan sebelum berakhir musim kami ketinggalan tujuh mata di belakang Lazio dan kemudian berjaya mengejar, menghambat mereka akhirnya muncul juara pada perlawanan terakhir, ianya menakjubkan walaupun saya bermain tidak sebanyak musim pertama,” tambah pemain itu yang kemudiannya membuat kejutan berpindah ke Middlesbrough demi mendapatkan lebih banyak minit permainan.

Bagi Ziege berpindah ke Middlesbrough adalah keputusan tepat di mana dia merasakan ia penghormatan besar untuk bermain di samping Paul Gascoigne, diterima penyokong, dapat menjaringkan gol-gol menarik tetapi lebih penting mendapat semula nikmat bermain banyak perlawanan sebagai pemain utama.

PERPINDAHAN YANG BOLEH DIELAKKAN 

Dia bagaimanapun hanya bermain semusim di Riverside, apabila dipancing oleh Liverpool pada musim 2000/2001 dalam perpindahan bernilai £5.5 juta yang turut dikaitkan berlakunya rundingan pintu belakang.

Walaupun Liverpool menjulang treble Piala FA, Piala Liga dan Piala UEFA musim tersebut, Ziege sekadar menjadi ‘fringe-player’ di Liverpool dan berpendapat disisihkan tanpa sebab oleh Gerard Houllier – sepertimana terjadi kepada Sander Westerveld.

Baca : ‘Saya masih tidak faham kenapa disingkirkan Liverpool dengan begitu kejam’

“Dari satu sudut, saya tidak boleh kata saya menyesal berpindah ke Liverpool kerana saya bermain satu musim dengan mereka. Mereka adalah kelab yang hebat, musim itu kami layak ke Liga Juara Eropah, menjuarai Piala FA, UEFA dan Piala Liga.

“Cuma secara peribadi, sebagai seorang pemain yang masih lagi berada pada prestasi cemerlang dan tonggak pasukan kebangsaan, saya perlu bermain secara kerap dan perpindahan ke Liverpool sebenarnya boleh dielakkan. Saya sepatutnya kekal sahaja di Middlesbrough untuk semusim atau dua kerana mereka menghargai saya sebagai pemain.

“Saya tidak dapat membina hubungan baik dengan Houllier, jujur kata tiada siapa tahu apa masalah dia sebenarnya. Dia sisihkan pemain tanpa sebab, saya bekerja keras dalam latihan, menunjukkan komitmen sama sepertimana bersama pasukan terdahulu.

“Saya bertanya kepada semua penolong jurulatih, kepada rakan sepasukan, di mana silap saya, apa yang perlu diperbetul, adakah perlu bekerja lebih keras, tetapi masing-masing tiada jawapan malah mereka mengatakan saya sudah buat lebih baik dari semua pemain lain.

“Dia tidak pernah bagitahu kenapa saya disisihkan, mungkin dia rasa tidak perlu tetapi saya perlu tahu. Antara saya dan dia, tidak pernah wujud satu hubungan dinamakan pengurus dan pemain. Ia menjadi perpindahan paling sia-sia dalam karier yang mana boleh saya elakkan tetapi saya tidak menyesal kerana ini juga memberi satu pengalaman baru kepada saya.”

Mengharungi musim yang mengecewakan, Ziege selepas itu berhijrah ke Tottenham Hotspurs, kelab yang dia wakili dan harungi pelbagai pengalaman suka duka pahit manis selama tiga musim sebelum berpindah semula ke Bundesliga untuk menoktahkan karier bersama Borussia Monchengladbach.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.