Zinedine Zidane ambil alih teraju dari Deschamps?

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Masa depan Didier Deschamps sebagai ketua jurulatih Perancis dijangka terjawab pada minggu depan tatkala legenda Les Bleus, Zinedine Zidane disebut-sebut bakal mengambil alih tugasnya susulan kegagalan di Euro 2020.

Deschamps yang telah membimbing Perancis sejak 2012 dan membawa pasukan itu menjuarai Piala Dunia 2018 selain muncul naib juara Euro 2016, berkontrak dengan Persekutuan Bolasepak Perancis (FFF) sehingga berakhir Piala Dunia 2022.

Presiden FFF, Noel La Great merancang untuk mengadakan pertemuan dengan Deschamps dalam tempoh beberapa hari lagi bagi membincangkan prestasi mengecewakan Perancis dalam Euro 2020.

Perancis mengungguli Kumpulan F yang dilabel kumpulan maut dihuni Portugal, Jerman dan Hungary sebelum tersingkir seawal pusingan kedua setelah kecundang kepada Switzerland menerusi penentuan penalti.

Ia menyaksikan buat pertama kalinya sejak Piala Dunia 2010 Les Blues gagal mara sekurang-kurangnya ke suku akhir kejohanan utama.

Dengan Zinedine Zidane ketika ini tidak membimbing mana-mana pasukan selepas meninggalkan Real Madrid pada Mei lalu, persoalan mengenai masa depan Deschamps antara topik utama menjadi perbualan dalam kalangan penyokong dan media tempatan di Perancis.

Apatah lagi Zinedine Zidane sendiri tidak menyembunyikan keinginannya untuk membimbing pasukan negaranya itu satu hari nanti.

“Kami akan bertemu minggu depan. Selalunya saya membiarkan 10 hari berlalu terlebih dahulu. Kami akan bertemu di pejabat saya di Guingamp dan meluangkan masa bersama-sama.

“Semua pihak harus memikirkan apa yang benar dan apa yang salah. Kami akan menghabiskan hari pertemuan itu dengan berbual-bual. Dia seorang kawan, seseorang yang sememangnya setia.

“Ini adalah kegagalan pertamanya, tapi saya tidak mengatakan kedudukan dia selamat, kami akan membincangkan apa yang silap,” kata La Graet kepada Telefoot.

Perancis menewaskan Jerman 1-0 dalam perlawanan pembukaan Euro 2020, kemudian seri menentang Hungary 1-1 disusuli Portugal 2-2.

Juara dunia itu mensia-siakan kelebihan selesa 3-1 ketika berdepan Switzerland yang bangkit mengikat kedudukan 3-3 sebelum tewas 4-5 dalam penentuan penalti di Bucharest.

Menyorot semula kegagalan mengejut negaranya dalam pusingan pertama kalah mati, menurut La Graet: “Saya lebih kecewa berbanding kemarahan. Kita perlu ingat bahawa kami diundi dalam kumpulan yang sukar.

“Kami mengungguli peringkat kumpulan dan kehilangan rentak dalam 10 minit terakhir ketika menentang Switzerland. Tidak semua pemain beraksi di tahap yang sama, tetapi kami tidak sepatutnya melepaskan kelebihan yang ada.

“Kami memiliki barisan pemain dan jurulatih yang berkualiti. Kami akan menganalisa apa yang tidak kena pada minggu depan. Kadang-kadang ia hanya membabitkan butiran kecil.”

Perancis akan kembali turun padang berdepan menentang Bosnia dan Herzegovina pada 1 September depan dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2022.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.