Zombi Bergson Ditembak Mati Viral Di Media Sosial

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Penyerang Johor Darul Takzim (JDT), Bergson Da Silva bukan sahaja mencuri tumpuan kerana meledak dua gol ketika menentang pasukan Terengganu FC di Stadium Sultan Ibrahim dalam aksi separuh akhir Piala Malaysia 2021 pada Jumaat.

Tetapi gaya pemain itu meraikan jaringan dengan merangkak seperti zombi turut menjadi perhatian dan viral di media sosial.

Setelah meledak gol kedua peribadi yang juga gol ketiga pasukan pada minit ke-14, Bergson meraikan jaringan dengan meniru gaya sama seperti dilakukan Jordan Mintah dalam aksi pertama sebelum ini – merangkak seperti zombi – dan kemudiannya ‘ditembak mati’ oleh Mauricio Nascimento.

Walaupun tindakan itu seolah-olah memerli Jordan Mintah, namun pemain Terengganu FC itu yang sedar tentang video yang viral itu tidak mengambil hati dan menganggap ia sebagai usikan sesama pemain bolasepak.

Dengan tambahan dua gol, Bergson kini sudahpun mengumpul tujuh gol dalam saingan Piala Malaysia, tiga di belakang Romel Morales yang sedang mendahului carta penjaring dengan 10 gol.

Secara keseluruhan, pemain dari Brazil itu telah mengumpul 30 gol dalam saingan Liga Malaysia musim ini, setelah menjaringkan 23 gol dalam saingan Liga Super.

Sementara itu, pengendali JDT, Benjamin Mora menegaskan perubahan formasi permainan memberi impak positif sehingga membolehkan pasukan harimau selatan meledak tiga gol pantas dalam 15 minit pertama.

JDT tampil dengan formasi 3-5-2 dan memberi penekanan untuk menyerang bagi memburu gol awal dan ia berhasil menerusi dua gol oleh Bergson Da Silva pada minit keenam dan ke-14 manakala Gonzalo Cabrera pada minit ke-10.

“Tapi memasuki minit ke-15, kami terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Safiq (Rahim) dilayangkan kad merah dan kami jelas tidak panik tatkala perlu mengharungi 80 minit perlawanan dengan hanya 10 pemain sahaja.

“Saya tidak pasti apa yang berlaku antara Safiq dan pemain nombor tujuh (Faisal Halim) kerana ia berlaku dengan pantas, sama ada berlaku provokasi yang menyebabkan insiden berkenaan.

“Namun saya enggan menyalahkan Safiq kerana dalam perlawanan berintensiti tinggi emosi pemain pun sama tinggi. Apapun saya memuji komitmen setiap pemain yang tidak gugup dan panik walaupun beraksi dengan 10 pemain sahaja.

“Malah pemain TFC jelas tidak mampu untuk melakukan percubaan berbahaya dan ia membuktikan pemain kami cukup matang mengatasi tekanan dalam perlawanan itu,” katanya.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.