Saturday, July 24, 2021
HomeBola SepakZubir Azmi tangguh niat bersara awal kerana Kelantan FC

Zubir Azmi tangguh niat bersara awal kerana Kelantan FC

Jika tidak mendapat tawaran daripada Kelantan FC, pemain pertahanan kiri Zubir Azmi mungkin sudah membuat keputusan melupakan bolasepak dan bagi menumpukan sepenuh perhatian kepada keluarga.

Pemain berusia 30 tahun itu terpaksa berjauhan dengan keluarga ketika beraksi bersama Sabah FC pada musim lalu dan pada awalnya mengambil keputusan tidak mahu lagi terlibat dalam kancah bolasepak lantas bekerja sebagai ejen Takaful.

Namun, selepas ditawarkan untuk bersama Kelantan FC, Zubir Azmi mengakui perasaan rindu untuk beraksi hadir semula sekali gus menangguhkan niat untuk bersara sepenuhnya pada tahun ini.

Apa yang penting, dia semakin bersemangat untuk membuktikan kudratnya masih berbisa bagi membantu Kelantan FC mencapai prestasi terbaik pada musim ini.

“Pada mulanya memang saya rasa nak berhenti terus daripada bermain bola sepak sebab saya sudah kembali bersama keluarga, jadi rasa berat hati nak tinggalkan mereka. Selepas itu, saya mula membantu isteri dengan menjadi ejen Takaful dan tidak terlalu fikirkan untuk kembali ke padang.

“Tetapi semangat saya ada semula selepas mendapat tawaran bersama Kelantan, dan daripada situ saya rasa masih mampu untuk buktikan kemampuan saya di atas padang. Jadi, saya rasa selepas ini saya memang akan terus bermain selagi masih diperlukan dan tekad ingin beraksi cemerlang di Kelantan”, jelasnya.

Sebagai rekod, Zubir Azmi pernah menjadi antara watak penting dalam skuad negara di mana dia merupakan sebahagian daripada skuad kebangsaan yang beraksi di Piala AFF Suzuki 2012 dan 2014.

Walaupun sudah lebih sedekad terlibat dalam kancah bolasepak tempatan, Zubir Azmi pada hakikatnya tidak banyak berpindah di mana Kelantan FC hanyalah pasukan keempat diwakilinya selepas negeri kelahirannya Terengganu FC, Sri Pahang dan Sabah FC.

Sementara itu, menjelang aksi pertama Liga Premier berdepan Perak FC II di Ipoh pada Sabtu ini, dia percaya pasukan sudah bersedia sepenuhnya untuk meraih kemenangan.

Apa yang mengagumkan Zubir Azmi adalah kelibat pemain-pemain muda yang berpotensi besar untuk mengembalikan reputasi gah The Red Warriors.

“Apabila saya mula-mula datang ke sini, apa yang menjadi perhatian saya adalah pemain-pemain muda yang cukup berbakat untuk berada dalam pasukan.

“Mereka mempunyai banyak potensi untuk diketengahkan dan melihat kesungguhan mereka menjadikan saya lebih berkeyakinan tinggi untuk bantu Kelantan memperbaiki kedudukan liga dengan lebih baik”, tambahnya.

Kelantan FC kini di tangga ketujuh Liga Premier dengan mengumpul 14 mata.

Foto kredit : TRW Kelantan FC

RELATED ARTICLES
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.