Binasanya masa depan bintang muda bernama Zulfadli Zulkifli kerana ‘bookie’

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Hakcipta penulisan milik sepenuhnya Labola Malaya, sebarang penerbitan semula sila backlink kepada link asal. Terima kasih.


Pada 2011, seorang anak muda menandakan kehadiran dalam arena badminton dengan penuh bergaya.

Zulfadli Zulkifli, menjadi pemain perseorangan pertama dari Malaysia untuk menjuarai Kejohanan Remaja Dunia dengan menewaskan juara bertahan Victor Axelsen dalam perlawanan akhir.

Kejayaan itu hadir tiga bulan selepas Zulfadli, yang ketika itu berusia 18 tahun menjuarai Kejohanan Badminton Remaja Asia – sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh Lee Chong Wei sekalipun ketika usia remajanya.

Zulfadli juara remaja Binasanya masa depan bintang muda bernama Zulfadli Zulkifli kerana 'bookie'

Dua kejayaan gemilang dalam tempoh singkat, membuatkan ramai melabel Zulfadli sebagai jaguh dalam pembikinan, dititip sebagai bakal pengganti Chong Wei yang ketika itu berada di ranking nombor satu dunia.

Zulfadli sendiri, yakin dengan diri sendiri dan meminta diberi masa tiga tahun untuk dia merampas status pemain nombor satu negara dan berdiri sebaris jagoan badminton dunia.

“Tiada apa yang lebih sempurna daripada mengucapkan selamat tinggal kepada peringkat remaja dengan kejuaraan Asia dan dunia tetapi saya tidak mahu ia terhenti di sini.

“Jadi, mulai saat ini, saya perlu fokus ke peringkat senior dan akan menyiapkan diri ke arah itu. Saya harus berlatih dengan lebih gigih lagi,” kata-kata keramat Zulfadli sejurus bergelar juara remaja dunia.

Tidak ketinggalan menerima pujian, ayahnya Zulkifli Sidek, yang bertindak sebagai jurulatih peribadi sehingga berjaya membentuk dan melahirkan seorang bintang masa depan atas usaha sendiri serta bantuan KLRC tanpa bantuan Persatuan Badminton Malaysia.

Tidak mahu sertai BAM

Ini membuatkan Zulfadli mahu terus dilatih dan berada di bawah perancangan ayahnya.

Zulfadli dan ayah Binasanya masa depan bintang muda bernama Zulfadli Zulkifli kerana 'bookie'

Malah ayahnya berulang kali menegaskan, dia memiliki ramuan dan kelayakan untuk terus menaikkan Zulfadli menjadi jaguh dunia suatu hari nanti dan ia adalah satu keyakinan yang perlu dipuji.

Dalam kata lain, bekas pemain Johor itu memilih untuk terus berjalan sendirian tanpa bernaung di bawah BAM bagi memulakan karier senior Zulfadli, mulai 2012.

“Saya mungkin bukan seorang pemain yang hebat, namun saya percaya ilmu pengetahuan dan pengalaman yang saya miliki menjadikan saya jurulatih yang lengkap. Melihat pencapaian Zulfadli menjulang kejuaraan remaja dunia dan Asia, saya rasa keupayaan saya sudah terbukti,” tegasnya.

Melihat kepada masa depan cerah serta potensi yang ada pada Zulfadli, BAM pernah beberapa kali cuba membawanya masuk ke dalam persatuan itu dan bersedia menawarkan pelbagai bentuk bantuan supaya boleh mengembangkan lagi kariernya, tetapi ia ditolak.

Zulkifli dikatakan telah mempunyai perancangan sendiri bagaimana mahu memacu karier Zulfadli, dan dia juga meletakkan pelbagai syarat seandainya BAM mahu ‘mengambil’ anaknya.

Masa berlalu, tempoh tiga tahun yang diletakkan Zulfadli untuk menjadi pemain nombor satu negara juga berlalu, dia pada akhirnya kekal sebagai pemain yang gah dengan pencapaian lalu.

Tiada pencapaian besar, menyebabkan ramai yang memberikan nasihat kepadanya agar menyertai BAM untuk memacu semula karier ke landasan yang betul apatah lagi ketika itu dia baru berusia 22 tahun.

Pernah dinasihatkan oleh KJ, Lee Chong Wei

Antara yang pernah menasihatkannya, bekas Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

“Kalau hendak dikatakan pewaris Chong Wei, beliau antara orangnya. Saya berharap dia akan sertai BAM. Kalau di luar, bakatnya hanya 50 peratus, manakala bakinya melibatkan persiapan dari segi sains sukan, kecergasan, latihan dan segalanya.

“Walaupun kita lihat ada sedikit kelemahan pada beliau, kita tidak dapat membantu pemain ini kerana beliau menjadi pemain bebas. Saya mahu Zulfadli jadi sebahagian daripada sistem kebangsaan.”

Tidak ketinggalan, Lee Chong Wei sendiri yang meminta Zulfadli membandingkan dirinya dengan Axelsen serta Kento Momota yang sedang meningkat naik ketika itu dan telah memecah masuk ke kelompok 10 terbaik dunia.

“Zulfadli perlu lebih matang menentukan masa depan sendiri sekiranya menyimpan impian memenangi pingat di Kejohanan Dunia dan Sukan Olimpik.

“Zulfadli baru berusia 22 tahun dan perjalanannya masih jauh. Dia tidak boleh terbawa-bawa dengan pencapaian empat tahun lepas menjuarai Kejohanan Remaja Dunia. Kejayaan itu sudah lepas, dia perlu fikir ke depan.

“Ramai cakap selepas saya ialah Zulfadli. Tetapi terpulang kepada kemahuannya sendiri, jika masih berlatih sendiri tahap prestasinya sama sahaja.

“Jika sertai BAM, prestasinya akan lebih baik dan terurus kerana persatuan menyediakan sistem kejurulatihan yang sistematik dengan kemudahan yang lengkap untuk membantunya, dapat sparring berkualiti bersama pemain kebangsaan,” kata Chong Wei selepas Kejohanan Dunia 2015.

Tetap dengan pendirian

Zulfadli tetap enggan menyertai BAM. Cuba memahami apa yang membuatkan dia tetap berdegil, ia dilihat ada kaitan dengan kekecewaannya tidak tersenarai dalam skuad Piala Thomas 2014 serta 2016.

Zulfadli Binasanya masa depan bintang muda bernama Zulfadli Zulkifli kerana 'bookie'

Ini berdasarkan kepada kenyataan pemain itu pada 2016 apabila BAM menyenaraikan Chong Wei Feng dan Goh Soon Huat yang berada di ranking lebih bawah daripadanya.

“Saya harap BAM boleh pertimbangkan semula keputusan mereka. Saya tidak akan minta kalau saya tidak layak secara merit, malah saya tidak akan bersuara.

“Namun, disebabkan saya tahu saya layak secara merit berdasarkan ranking dan saya adalah perseorangan ketiga terbaik negara, jadi kenapa tidak senaraikan saya?

“Ketika Malaysia layak ke pusingan akhir Piala Thomas berdasarkan ranking pasukan, mata ranking dunia saya diambil kira, ketika itu saya perseorangan kedua terbaik tetapi sekarang saya tidak disenaraikan.

“Saya juga sudah menandatangani surat tawaran untuk bersama pasukan beberapa minggu lalu dan bersetuju dengan semua syarat BAM tetapi saya dimaklumkan tidak terpilih. Saya cuba hubungi Morten Frost (Pengarah Teknikal BAM) sejurus selepas itu tetapi dia tidak jawab,” ujarnya selepas nama skuad Piala Thomas 2016 diumumkan.

Ia dilihat menjadi titik tolak, dan selepas itu pelbagai alasan lain dinyatakan termasuklah program disediakan bapanya untuk layak ke Sukan Olimpik 2016 Rio, sudah berlangsung separuh jalan.

Malah pada satu ketika dia memberitahu sudah memiliki segala apa yang ditawarkan BAM dan tidak memerlukan bantuan mereka.

“Pada saya, sekarang saya tidak mahu banyak berfikir mengenai tawaran BAM kerana dari sudut pasukan sokongan untuk naikkan prestasi semua saya sudah ada.

“Universiti Teknologi Mara (UiTM) pun berikan sokongan 200 peratus kepada saya untuk terus ke hadapan jadi adalah lebih baik saya fokus dengan apa yang ada sekarang.

“UiTM menawarkan saya kepakaran dari segi pembelajaran, akademik dan sukan selain pasukan sokongan. Mereka akan menggunakan pakar di UiTM untuk membantu naikkan saya dalam badminton,” katanya pada 2016.

Kejayaan memenangi beberapa gelaran GP Emas juga menyaksikan pemain itu menukar mentaliti mahu bermain di kejohanan kecil dan memburu gelaran, berbanding berusaha menaikkan ranking, ini diakuinya sendiri.

2018, digantung 20 tahun,  pengakhiran sebuah impian

Pada permulaan 2018, Zulfadli mensasarkan untuk mengambil bahagian dalam beberapa kejohanan, bermula dengan Masters Thailand, disusuli Masters Malaysia, Indonesia dan India.

Begitupun, dia hanya bermain di Thailand dan menarik diri daripada semua kejohanan lain sekaligus menimbulkan persoalan.

IMG 20200601 190135 Binasanya masa depan bintang muda bernama Zulfadli Zulkifli kerana 'bookie'

Pada 9 Februari, dia memberitahu sebenarnya mengalami kecederaan buku lali dan sasaran untuk kembali selepas berehat beberapa minggu.

Hanya beberapa hari selepas itu, arena badminton tanah air gempar apabila akhbar NSTP mendedahkan dua pemain telah digantung sementara oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) kerana terbabit salah laku mengatur perlawanan.

Dua pemain itu masing-masing menghadapi 24 pertuduhan mengatur perlawanan dalam enam kejohanan berbeza di antara 2013 hingga 2016.

Ketika hari pertama sesi pendengaran berlangsung pada 26 Februari, kelihatan kelibat Zulfadli Zulkiffli dan Tan Chun Seang menghadiri sesi pendengaran di Hotel Jen Tanglin, Singapura sekaligus mengesahkan bahawa mereka adalah dua pemain yang dimaksudkan.

Selepas lebih dua bulan, BWF mengumumkan hukuman gantung selama 20 tahun dan denda RM98,000 ke atas Zulfadli; manakala hukuman gantung 15 tahun dan denda RM59,000  ke atas Chun Seang selepas didapati bersalah mengatur perlawanan.

Tidak mengaku bersalah, rasa dianiaya

BWF menjelaskan kegiatan mereka terbongkar selepas menerima aduan daripada seorang pemain yang mendakwa dihubungi Zulfadli bagi tujuan mengatur perlawanan ketika Terbuka Brazil 2016 yang membawa kepada siasatan dijalankan.

Mereka menjadikan perbualan menerusi whatsapp antara Zulfadli dan Chun Seang sebagai salah satu bukti utama.

Zulfadli pula memberitahu perbualan whatsapp telah disalah tafsir dan merasakan dirinya teraniaya kerana banyak persoalan seperti perlawanan mana yang disabitkan kesalahan kepadanya, selain ada beberapa perkara lain yang agak meragukan tidak dapat dirungkaikan daripada pertuduhan itu.

Mereka kemudiannya telah mengemukakan rayuan untuk mencabar keputusan tersebut kepada Mahkamah Timbangtara Sukan pada Julai 2019, namun rayuan itu ditolak sekaligus menyaksikan hukuman yang dijatuhkan kekal, berakhirlah sebuah perjalanan.

Foto kredit : NSTP, thestar

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.